USAHAWAN BORONG PUNYAI POTENSI LUAS



JOHOR BAHRU - Program Usahawan Borong Ke Yiwu, China anjuran Pusat Pembangunan Usahawan (EDC) Johor telah memberi peluang kepada para usahawan di negeri ini memperluaskan perniagaan mereka, dengan menceburi perniagaan mengimport barangan secara terus dari China.

Seramai 30 peserta terpilih mengikuti program tersebut, dalam usaha melahirkan usahawan bumiputera yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi, selain berupaya memiliki syarikat pemborongan yang besar dan berjaya di negeri Johor.

Pengurus Besar EDC, Hahasrin Hashim berkata menerusi program tersebut, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai ilmu dan pengalaman yang dapat membantu memajukan perniagaan mereka daripada peruncitan kepada bidang perniagaan yang lebih besar iaitu pemborongan.

Menurut Hahasrin, sejumlah RM140,000 diperuntukkan Kerajaan Negeri pada tahun ini bagi menjayakan program tersebut yang melibatkan tiga fasa.

Katanya, usahawan yang terlibat terdiri daripada pelbagai bidang perniagaan seperti pakaian, barangan aksesori, bahan binaan dan keperluan harian.

“Program ini mempunyai tiga fasa yang dijalankan dengan kerjasama beberapa perunding yang kami lantik serta beberapa agensi.

“Fasa pertama, melibatkan 300 para usahawan dari seluruh negeri Johor. Mereka telah diberi kursus mengenai kesedaran dan pengetahuan asas dalam bidang pemborongan.

“Fasa kedua, melibatkan 150 usahawan yang dipilih daripada 300 usahawan dari fasa pertama. Melalui fasa ini, mereka diberi pendedahan atau kursus mengenai teknik memborong secara terperinci supaya mereka yang terpilih nanti benar-benar menjadi usahawan pemborong yang berjaya.

“Seterusnya, fasa ketiga, seramai 30 usahawan yang layak dipilih untuk dibawa ke China untuk didedahkan dengan pengalaman secara praktikal,” katanya.

Lebih 90,000 Kedai Borong Di Yiwu

China merupakan hab atau destinasi pemborong terbesar di dunia. Malah sejak kebelakangan ini destinasi borong di negara itu turut menjadi tumpuan peniaga-peniaga Afrika.

Kebiasaannya lokasi tumpuan perniagaan borong atau mengimport dari China ialah Guangzhou, Shenzen dan Yiwu yang menawarkan pelbagai rangkaian produk, selain mampu memenuhi permintaan pasaran.

Menerusi program ini, Yiwu menjadi pilihan kerana ia didapati kurang dikunjungi dan diterokai oleh rakyat Malaysia.

“Kami memilih Yiwu sebagai tempat untuk membawa para usahawan yang mengikuti program ini kerana tidak ramai rakyat atau usahawan kita yang datang ke sini, sedangkan di sini terdapat lebih 90,000 kedai borong dan berjuta-juta produk dalam satu market.

“Kita melihat potensi yang sangat besar di Yiwu untuk usahawan kita meneroka dan membawa balik produk-produk untuk dipasarkan di Malaysia, khususnya di Johor,” kata Hahasrin.

Jelasnya lagi, usahawan dalam kalangan bumiputera sememangnya diakui berkebolehan dari segi pemasaran, tetapi kurang pengalaman dalam meneroka pasaran borong yang pelbagai dan nyata jauh lebih murah.

“Pendedahan baharu ini diharap dapat memberi peluang kepada para usahawan agar mereka dapat memperluaskan perniagaan mereka dengan memasarkan pelbagai produk yang terdapat di sini,” katanya.


Johor Rancang Wujudkan Pusat Pemborong 

Bercakap mengenai perancangan jangka masa panjang dalam membantu usahawan-usahawan borong di Johor, Hahasrin berkata Kerajaan Negeri kini dalam perancangan untuk menjadikan Pekan Rabu Kluang sebagai pusat pemborong.

“Kami sedang berbincang dengan perunding berpengalaman untuk mendapatkan pandangan mereka bagi menjayakan usaha tersebut. Sekiranya ia dapat direalisasikan, usahawan-usahawan ini juga akan ditempatkan di pusat tersebut,” katanya.

Selain itu, semua peserta yang mengikuti program ini juga akan dipantau.

“Kita akan pantau mereka, sebelum dan selepas supaya mereka ada peningkatan dari segi jualan, selain melihat bagaimana kita boleh terus membantu untuk mengembangkan perniagaan mereka.

“Mungkin selepas ini mereka memerlukan dana yang lebih besar atau gudang-gudang bagi menempatkan barangan mereka, jadi kita akan padankan dengan agensi-agensi berkaitan yang menyediakan perkhidmatan dan kemudahan tersebut,” jelasnya.


NKH Armada Bimbing Usahawan Memborong

Program Usahawan Borong Ke Yiwu, China ini juga diadakan dengan kerjasama syarikat perunding yang berpengalaman bagi memastikan objektif pelaksanaannya dapat dicapai dengan baik.

NKH Armada yang mempunyai pengalaman lebih tujuh tahun dalam meneroka dan membawa usahawan tempatan untuk memborong ke China telah diberi peranan dalam pelaksaan program ini.

Pengarahnya, Khairul Amiruddin Mohamed bekata langkah yang diambil pihak EDC dan Kerajaan Negeri amatlah bertepatan dalam usaha membuka ruang kepada para usahawan Johor agar mereka tidak ketinggalan dalam merebut peluang yang terbentang luas.

Justeru, syarikatnya mengambil peranan sebaik mungkin dalam memastikan usahawan yang terlibat benar-benar memperolehi manfaat daripada program yang dijalankan.

“Kita membantu usahawan ini bermula dari peringkat awal lagi, agar mereka benar-benar bersedia apabila berada di China. 

“Selain mengadakan kursus dengan pengisian dari segi teori, saya sendiri turut bersama-sama usahawan ketika mereka melakukan pemborongan di China,” katanya.

Tambah beliau, usahawan yang terlibat turut didedahkan dengan cara-cara dan proses penghantaran barang dari China ke Malaysia hinggalah ke pintu rumah.

Peluang Teroka Potensi Baharu 

Sementara itu, rata-rata usahawan yang ditemui turut melahirkan rasa gembira dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri terhadap peluang yang diberikan.

Menurut salah seorang peserta, Salimon Suhir, 53, berasal dari Masai, program tersebut telah memberi peluang kepada beliau untuk meneroka sumber baharu di Yiwu.

“Sebelum ini saya pergi ke daerah lain di China, tetapi saya tidak dapat sumber atau barang yang dijual pada harga yang sangat murah. Berbeza di Yiwu, bukan sahaja dapat memborong pada harga yang rendah tetapi barang juga berkualiti.

“Saya merancang untuk datang semula bagi meneroka potensi yang ada dengan mengimport pelbagai barangan lain ke Malaysia, khususnya ke Johor. Ini sekaligus dapat mengembangkan lagi perniagaan saya,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Urusan di sebuah syarikat membekal bahan binaan dan keperluan harian, Seri Gelam Enterprise Sdn. Bhd. juga melahirkan rasa puas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh NKH Armada sepanjang program dijalankan.

“Kami diberikan panduan lengkap bagaimana untuk memborong dan sebagainya. Malah, urusan penghantaran barangan ke Malaysia juga berjalan lancar,” tambahnya.

Bagi Pengurus Pemasaran 3H Enterprise, Khalid Mohd Yunos, 38, berasal dari Johor Bahru pula, beliau menyifatkan program ini adalah yang terbaik yang pernah disertainya dalam tempoh lima tahun berniaga dalam bidang peruncitan.

Katanya, dengan mengikuti program ini, beliau dapat mempertingkatkan ilmu perniagaan sedia ada kepada bidang yang lebih besar iaitu pemborongan.

“Pelbagai peluang baharu yang boleh saya ceburi dalam bidang pemborongan ini. Untuk pertama kali datang ke Yiwu, saya masih lagi belajar, jadi saya jalankan pemborongan minimum iaitu berskala kecil,” katanya sambil menambah turut merancang untuk mengunjungi Yiwu semula dalam tempoh terdekat. 

Beliau yang menjalankan perniagaan pakaian dan barangan eksesori itu juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan EDC kerana memberi peluang menyertai program tersebut dan berharap ia dapat diteruskan kepada para usahawan yang lain.

Sementara itu, Asnuliyadi Jupari, 41, turut mencadangkan agar program ini dapat dilaksanakan secara konsisten bagi memastikan usahawan lain turut berpeluang mengikuti program yang sama, terutamanya usahawan baharu.

“Ini adalah satu program yang sangat hebat. Mungkin EDC boleh buat setahun dua kali kepada usahawan-usahawan baharu. Program ini dapat membantu mereka meneroka, selain didedahkan dengan lokasi one stop center di Yiwu ini.
“Proses borong di Yiwu senang dan bagus sebab semua produk berada di bawah satu bumbung. Kita boleh buat dalam satu masa untuk survey dan buat pembelian terus,” katanya yang merupakan Pengasas Brilliant Star PLT, syarikat peruncitan barangan aksesori telefon pintar.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak EDC atas komitmen dalam usaha membantu peniaga terutama dalam kalangan bumiputera, selain memuji perkhidmatan NKH Armada yang banyak membantu para peserta dari awal program dijalankan.

“Terima kasih kepada NKH Armada yang banyak membantu kami dari mula iaitu dari dalam kelas di EDC hingga kami lakukan proses pemborongan di China. Banyak input dan tunjuk ajar yang diberikan,” katanya.

Seramai 15 usahawan daripada kumpulan pertama menyertai program Usahawan Borong Ke Yiwu, China itu pada 12 hingga 17 April lalu, manakala 15 peserta lagi diadakan pada 12 hingga 17 Mei.


Ends